Salah satu di antara sifat atau tabiat semula jadi manusia
ialah bersifat gopoh. Ini jelas telah dinyatakan oleh Allah
Taala melalui Al Quran yang berbunyi:
Maksudnya: “Dijadikan manusia itu bersifat terburuburu
atau gopoh-gapah.” (Al Anbiya’: 37)
Ini juga salah satu di antara ujian kepada manusia, apakah
dia berjaya atau tidak mendidik dan mendisiplinkan diri agar
menjadi manusia yang tenang. Orang yang gopoh akan sentiasa
gelisah dan resah lebih-lebih lagi jika dia ditimpa ujian.
Ujian bagi golongan bawahan antaranya miskin, orang tidak
peduli atau orang benci. Ujian golongan biasa, seperti ada saingan
dalam merebut jawatan, dilucutkan jawatan, rugi dalam perniagaan
atau tidak lagi dilantik menjadi menteri dan sebagainya.
Manusia itu jika tidak berusaha mendidik dan bermujahadah
dengan nafsu yang gopoh-gapah dan gelojoh, maka benih gopoh
semula jadi yang Allah cipta dalam diri manusia itu ibarat benih
pokok. Ia akan bertunas, berdaun, berbatang yang akhirnya
membesar, subur lalu berbuah. Di waktu itu sifat gopohnya
benar-benar berakar umbi dan mendarah mendaging di dalam
diri manusia hingga menjadi tabiat, sikap dan seterusnya menjadi
budaya hidupnya.
MERBAHAYANYA SIFAT GOPOH
Sifat gopoh pada seseorang itu jika dibiarkan tidak dididik dan
tidak diasuh sejak kecil hingga terbiar sampai dewasa bahkan
sampai ke tua, maka sifat gopoh itu sangat merosakkan pada
empunya diri dan juga orang lain.
Di antara kejahatan dan keburukannya yang timbul dari sifat
gopoh itu ialah:
1. Mudah mengeluarkan kata-kata atau percakapan tanpa
berfikir lebih dahulu baik buruknya. Akhirnya banyak
tersalah. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang percaya dengan Allah
dan Hari Kemudian maka hendaklah bercakap yang baik atau
diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Dalam perbualan dan perbincangan, mudah sahaja memotong
cakap orang. Ramai orang tersinggung, banyak orang
benci, akhirnya berlaku perpecahan hati yang akan membawa
perpecahan yang lebih besar lagi.
3. Gopoh membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan lebih
dahulu atau tanpa berunding dengan orang-orang yang
boleh dipercayai. Akhirnya keputusan itu tersalah atau tidak
jitu. Akibatnya penyesalan yang tidak berkesudahan.
4. Mudah menuduh atau menghukum, akibatnya selalu sahaja
tersalah. Banyak orang yang terfitnah dengan sebab kegopohan
kita. Sedangkan fitnah itu mengikut Islam lebih
dahsyat daripada pembunuhan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari
pembunuhan.” (Al Baqarah: 191)
Teraniayalah orang yang difitnah itu. Kalau mereka tidak
sabar atau gopoh pula, dia akan menyerang kita. Seterusnya
memusuhi kita atau kita terheret ke mahkamah.
5. Daripada sifat gopoh itu mudah memukul orang, menyerang
orang dan membunuh orang. Timbullah kerosakan dari
kejahatan di dalam bermasyarakat. Selepas itu akan berlaku
dendam-berdendam. Mungkin nanti masing-masing
membawa klik atau mengumpul kawan-kawan masingmasing.
Maka kerosakannya lebih besar lagi.
6. Daripada sifat gopoh, kita selalu sahaja mendapat malu.
Padahal malu itu menghilangkan maruah kita. Hilang wibawa
kita dan seterusnya hilang keyakinan orang.
7. Sifat gopoh mudah membawa orang cepat merajuk, mudah
jemu membuat kerja yang baik, kalau lebih berat lagi mudah
putus asa iaitu sifat yang sangat dilarang oleh Allah SWT
seperti dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Tiada yang berputus asa dari rahmat Allah
melainkan kaumnya yang kafir.” (Yusuf: 87)
Maksudnya: “Jangan kamu berputus asa dari rahmat
Allah.” (Az Zumar: 53)
8. Orang yang gopoh makin tidak tenang hidupnya kerana
selalu sahaja tersalah, tersilap, terlajak, tersasul yang merugikan
dan menyusahkan hati.
9. Dengan sifat gopoh yang ada pada seseorang itu, orang lain
tidak suka berkawan. Orang takut berkawan kerana adakalanya
kalau dia marah, mendadak sahaja tanpa munasabah,
sekalipun pada kawannya, isteri atau anak-anaknya
lebih-lebih lagi yang bukan kawannya.
10. Sifat gopoh itu bukan sahaja mendorong membuat sesuatu
kerja itu tanpa mengkaji lebih dahulu. Bahkan mudah sahaja
meninggalkan sesuatu kerja itu lebih-lebih lagi bila terasa
kerja itu susah dan berat, iaitu kerja akan terbengkalai dalam
kehidupan.
11. Sifat gopoh seseorang itu boleh membawa seseorang itu
melulu bertindak, mudah menjadikan musuh itu kawan,
dan juga mudah menjadikan kawan itu musuh. Segala
tindakan dan usaha-usahanya semberono, tidak berdisiplin,
tidak tersusun dan teratur.
12. Mudah menukar fikiran, mudah mengubah sikap, mudah
menukar prinsip, mudah dicucuk. Mudah dihasut dan melatah
hingga susah kita hendak berpegang dengan pendiriannya.
Kalau di dalam satu perjuangan mudah menyebelah
musuh atau mudah memukul kawan seperjuangan, lebihlebih
lagi setelah kena uji. Ia sangat merbahaya di dalam
perjuangan.
13. Sifat gopoh itu selalu sahaja membuatkan seseorang menyesal
tidak sudah, sesal berpanjangan.
14. Gopoh itu termasuk akhlak yang buruk, perangai yang
hodoh, budi pekerti yang jelik, dibenci oleh Allah Taala,
Rasul dan seluruh makhluk.
15. Sifat gopoh pada seseorang itu menyebabkan dia mudah
atau cepat menolak kebenaran yang dibawa oleh orang lain,
tanpa fikir panjang, tanpa kaji dan selidik.
16. Sifat gopoh yang tidak dapat dikekang dan kontrol menjadikan
seseorang itu hilang sifat sabar atau menjadi orang
yang tidak sabar terutama bila diuji sama ada dengan nikmat
mahupun dengan bala.
PUNCA ATAU SUMBER SIFAT GOPOH
1. Punca atau sumber sifat gopoh itu benihnya adalah ciptaan
Tuhan semula jadi. Dia lahir sama-sama dengan tubuh kasar
manusia kemudian dibiarkan tanpa dididik hingga menjadi
subur.
2. Didorong lagi oleh sifat ego atau sombong sama ada disedari
oleh orang itu atau tidak, kerana sifat ego juga benihnya
juga telah Allah Taala cipta dari sejak lahir lagi, apatah lagi
didorong oleh faktor-faktor yang mendatang seperti ada
pangkat yang tinggi, kaya, ada kuasa dan lain-lain lagi.
3. Mungkin kekurangan ilmu pengetahuan tentang ilmu-ilmu
hati atau jiwa sama ada mahmudah mahupun mazmumahnya.
Ertinya hatinya atau jiwanya terbiar tanpa dapat
pimpinan dan didikan yang sempurna secara Islam maka
ia terdorong dari dalamnya.
4. Boleh jadi juga faham tentang ilmu hati atau jiwa tapi lemah
bermujahadah. Atau tidak bersungguh-sungguh bermujahadah
disebabkan lemahnya iman. Atau lemah akidah dan
tidak tahan godaan dari luar diri yang sentiasa mencabar
jiwanya.
5. Mungkin juga didorong oleh sifat-sifat tamak dan rakus atau
didorong oleh jiwa yang lemah, kerana lemahnya akidah
sekalipun di sudut ilmunya pakar akidah atau pakar tauhid,
tapi ilmu itu tidak dapat dihayati.
GOPOH MENJADIKAN MANUSIA MELULU
Sifat gopoh boleh menjadikan manusia itu tidak berdisiplin
hidupnya dalam segala tindak-tanduk dan sikapnya terutama
bila berhadapan dengan dua keadaan berikut:
Pertama: Apabila waktu senang atau mewah.
Di waktu mereka ada duit, hilang pertimbangan waktu berbelanja,
terlalu gopoh berbelanja. Dia beli apa sahaja, macammacam
dia beli, berfaedah atau tidak berfaedah, perlu atau tidak,
terutama jangan sahaja nampak barang atau benda yang dia suka
atau barang yang orang lain ada, dia akan beli. Nampak sungguh
macam orang kemarukan atau tidak siuman. Hilang rasional
sekalipun dia seorang berpelajaran, mendapat pelajaran tinggi,
berjawatan tinggi, berkedudukan penting di dalam masyarakat.
Akhirnya rumah macam muzium. Apabila sudah terlalu banyak
hingga tidak terurus, timbullah pembaziran. Maka kesenangan
tidak dapat dikongsi oleh orang lain.
Kedua: Apabila mendapat kesusahan seperti miskin, sakit, bencana
alam, kemalangan, di waktu itu mereka yang gopoh itu
nampak sangat melulu di dalam hendak menyelesaikan masalah
atau hendak mengatasi masalah. Keluh-kesahnya begitu ketara,
mukanya tidak ceria, maka mengadulah dia ke sana ke mari.
Dia tidak fikir orang suka atau tidak suka, sesuaikah orangnya
tempat mengadu atau tidak, orang itu simpati atau benci, dia
akan menceritakan masalahnya, dia akan luahkan perasaannya.
Dia tidak kira orang itu jemu atau tidak jemu mendengarnya,
setiap kali berjumpa mesti bercerita tentang masalah walaupun
sebelum ini entah berapa kali sudah diceritakan kepada orang
itu namun dia tidak jemu-jemu bercerita masalahnya.
Kalau hendak mengatasi kemiskinan hingga membuat
perkara yang tidak patut, hingga menimbulkan masalah yang
lebih kusut lagi seperti berhutang di sana, berhutang di sini, hingga
hutang di sekeliling pinggang. Begitu juga kalau sakit, apabila
berjumpa sahaja ubat di mana-mana dia mesti beli, digunakan
atau tidak dia tidak kira, yang penting beli. Padahal apabila
sudah dibeli sekali dua sahaja digunakan atau dimakan. Kemudian
beli lagi ubat yang jenis lain pula. Begitu sekali gopoh membeli
ubat. Itu boleh tahan, setengahnya jumpa bomoh, sami,
berubat dengan cara yang menyalahi syariat, bersandar dengan
Tuhan langsung tidak ada, Tuhan terus dilupakan, Tuhan tidak
ada di dalam jiwanya. Dia rasa segala masalahnya boleh diselesaikan
oleh usahanya, hingga terlalu bersandar dengan usaha,
hilang disiplin diri. Bila hilang disiplin nampaklah melulunya
tindak-tanduknya hingga hilang pertimbangan akal fikirannya.
BAGAIMANA MENGUBAT PENYAKIT GOPOH?
Sebelum ini telah kita katakan bahawa penyakit gopoh itu kerana
jiwa tidak tenang. Tidak tenang disebabkan oleh sifat ego, tamak,
tidak faham perjalanan hati atau jiwa, membiarkan sifat gopoh
semula jadi itu hingga menjadi subur hingga jiwa menjadi
kosong. Kosong daripada menghayati tauhid atau kosong menghayati
akidah. Sekadar ada ilmu akidah, boleh jadi ilmu akidah
pun tidak ada, lebih-lebih lagilah teruknya.
Ertinya iman sudah tidak ada atau telah lemah maka Tuhan
sudah tidak ada di dalam kamus hidupnya. Tuhan bukan tempat
sandaran lagi, Tuhan tidak lagi menjadi tempat rujuk, Tuhan
tidak lagi dijadikan penyelesai segala masalah. Maka timbullah
jiwa tidak tenang. Apabila tidak tenang datanglah sifat gopoh.
Oleh itu untuk menghilangkan gopoh kenalah tenangkan jiwa
atau hati.
tazkiyatun nafsi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment